Istighfar menurut bahasa adalah memohon keampunan daripada Allah atas segala dosa yang dilakukan. Sangat banyak kelebihan Istighfar telah dirakamkan dalam al-Quran dan Hadith. Para ulama' juga ramai yang melazimkan Istighfar dalam kehidupan mereka. Antaranya adalah Imam Hasan Al-Basri.
Lafaz Istighfar yang mahsyur adalah,
استغفر الله الذي لا اله الا هو الحي القيوم واتوب اليه
Transliterasi: Astaghfirullaha allazi la ilaha illa huwa al-hayy al-qayyum wa atubu ilaihi
Maksud: Aku memohon ampun kepada Allah, yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, yang bersifat Maha Hidup dan Maha Memelihara, dan aku bertaubat kepada-Nya.
KISAH IMAM HASAN AL-BASRI
Pada zamannya Hasan Al-Basri, beliau merupakan orang yang soleh dan mempunyai ramai pelajar. Suatu ketika, ketika beliau sibuk dengan para pelajarnya, datang seorang lelaki dan bertanya kepada Sheikh Hasan Al-Basri, "Wahai Sheikh, saya mempunyai banyak masalah."
Imam Hasan Al-Basri bertanya, "Apakah masalah kamu?"
Jawab lelaki itu, "Daerahku sudah lama tidak turun hujan sampai kemarau, berilah sesuatu kepadaku."
Imam Hasan Al-Basri berpesan agar perbanyakkan ISTIGHFAR.
Lelaki itu mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi.
Kemudian datang lelaki lain mengadu kepada Imam Hasan Al-Basri, "Tuan, saya telah jatuh miskin, saya tiada pendapatan dan wang"
Imam Hasan Al-Basri berpesan agar perbanyakkan ISTIGHFAR.
Kemudian datang lelaki lain mengadu, "Tuan, saya tidak dapat memiliki zuriat."
Imam Hasan Al-Basri berpesan agar perbanyakkan ISTIGHFAR.
Peristiwa ini disaksikan oleh pelajar-pelajar Imam Hasan Al-Basri, lantas mereka bertanya, "Wahai guru kami yang kami hormati, kami melihat ramai orang mengadu masalah-masalah mereka kepada tuan namun jawapan yang tuan bagi adalah sama - untuk memperbanyakkan Istighfar. Mengapakah begitu?"
Imam Hasan Al-Basri pun berkata, "Wahai para pelajarku, jawapannya terkandung dalam al-Quran." Beliaupun membacakan ayat 10 hingga 12 dari Surah Nuh.
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (10)
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11)
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)
KESIMPULAN
Dua pengajaran terdapat dari kisah Hasan Al-Basri ini,
PERTAMA istighfar merupakan sebuah amalan yang sangat hebat, bukan sahaja menyelesaikan masalah akhirat, bahkan hampir semua masalah duniawi juga dapat diselesaikan dengan istighfar termasuklah masalah rezeki.
KEDUA adalah betapa para ulama' seperti Imam Hasan Al-Basri mereka begitu yakin dengan penyelesaian masalah dunia dan akhirat terletak dalam amal agama.
Wallahua'lam.
© 2020 Alyasouq.com
Website created by Abu Amru