thumbnail rahsia amalan murah rezeki sakhr al ghamidi
Keajaiban Istighfar: Kisah Imam Ahmad bin Hanbal

Istighfar menurut bahasa adalah memohon keampunan daripada Allah atas segala dosa yang dilakukan. Sangat banyak kelebihan Istighfar telah dirakamkan dalam al-Quran dan Hadith. Para ulama' juga ramai yang melazimkan Istighfar dalam kehidupan mereka. Berikut merupakan pengalaman Imam Ahmad ibnu Hambal berkaitan amalan Istighfar.

 

Lafaz Istighfar yang mahsyur adalah,

 

استغفر الله الذي لا اله الا هو الحي القيوم واتوب اليه

 

Transliterasi: Astaghfirullaha allazi la ilaha illa huwa al-hayy al-qayyum wa atubu ilaihi

 

Maksud: Aku memohon ampun kepada Allah, yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, yang bersifat Maha Hidup dan Maha Memelihara, dan aku bertaubat kepada-Nya. 

 

KISAH IMAM AHMAD IBNU HAMBAL

 

Imam Ahmad Ibnu Hambal merupakan seorang ulama' masyhur, ulama' salah satu mazhab yang utama dan dikenali sebagai Imam Para Ahli Sunnah. Ada ulama' yang berpendapat tiada seorang pun yang berkhidmat pada agama seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal melainkan Abu Bakar RA. Kerana pegangannya pada ijtihad dan ilmunya, beliau dipenjara selama bertahun-tahun dan dikenakan kurungan di rumah.

 

Imam Ahmad bin Hanbal merupakan seorang ulama' yang sangat masyhur dari zamannya lagi, seluruh pelusuk dunia Muslim pernah mendengar tentang hebatnya ilmu Imam Ahmad bin Hanbal, cuma tinggal mereka yang jauh darinya tidak mengenali susuk dan wajahnya, dan itulah yang berlaku padanya pada satu masa.

 

Ketika dalam sebuah perjalanan mencari ilmu, Imam Ahmad bin Hanbal singgah di sebuah pekan. Kerana hari sudah gelap, beliau berniat untuk beri'tikaf di masjid pekan tersebut. Ketika beliau berbaring penjaga masjid tersebut melarang beliau dan mennyuruh beliau keluar dari masjid. Imam Ahmad pun akur, beliau keluar kemudian duduk di hadapan masjid. Seketika kemudian penjaga masjid tersebut datang dan memarahinya kerana duduk lagi dalam kawasan masjid. Imam Ahmad cuba untuk berunding tetapi beliau diheret ke tengah jalan.

 

Tidak berapa jauh dari tempatnya diheret terdapat sebuah kedai roti. Di tengah malam itu tuan punya kedai melihat peristiwa yang berlaku. Tukang roti tersebut melihat tanda-tanda takwa dan kesolehan pada wajah orang asing yang terdampar di tengah jalan tidak jauh dari kedainya, lalu dia mendekati Imam Ahmad.

 

"Wahai tuan, silalah tidur di kedai roti ku. Kerja saya adalah membakar roti sepanjang malam supaya roti boleh dijual selepas Subuh. Tuan boleh saja tidur sambil saya meneruskan kerja-kerja membakar roti."

 

Imam Ahmad pun membaringkan tubuhnya. Namun dia tak terus lelap sebaliknya beliau memerhatikan kerja-kerja tukan roti. Suatu perkara yang menarik perhatiannya adalah mulut tukang roti sentiasa sibuk dengan ISTIGHFAR.

 

Sepanjang malam sambil menguli dan membakar roti tukang roti tersebut sibuk dengan berISTIGHFAR.

20 August 2020

Esoknya Imam Ahmad pun bertanya kepada tukang roti yang menjadi tuan rumahnya, "Wahai tuan, saya perasan kamu sentiasa sibuk dengan ISTIGHFAR, berapa lamakah tuan mengamalkan ISTIGHFAR ini?"

 

Jawab tukang roti, "Saya telah lama mengamalkan ISTIGHFAR."

 

Soal Imam Ahmad lagi, "Kalau begitu adakah kamu mendapat apa-apa manfaat daripada amalan ISTIGHFAR kamu?"

 

Jawab tukang roti, "Sejak saya mengamalkan ISTIGHFAR, doa dan permintaan saya terhadap Allah sentiasa dipenuhi. Semua yang saya minta dari Allah saya dah dapat kecuali satu saja permintaan yang belum Allah penuhi."

 

Imam Ahmad bertanya lagi, "Apakah permintaan yang belum kamu dapatkan?"

Jawab tukang roti, "Saya minta agar dapat melihat Imam Ahmad bin Hanbal."

 

Imam Ahmad pun memuji dan memuja Allah, kemudian dia berkata kepada tukang roti tersebut, "Wahai tuan, sesungguhnya Allah telah pun kabulkan permintaan tuan tersebut. Bahkan dia mengheret Ahmad bin Hanbal sampai ke depan pintu mu."

 

KESIMPULAN

 

Pengajaran dari kisah Imam Ahmad bin Hanbal, 

 

Istighfar merupakan sebuah amalan yang sangat hebat, bukan sahaja menyelesaikan masalah akhirat, bahkan hampir semua masalah duniawi juga dapat diselesaikan dengan istighfar termasuklah masalah rezeki.

 

Wallahua'lam. 

© 2020 Alyasouq.com

Website created by Abu Amru